Monday, October 6, 2008

Puteri yang kontroversi bakal tenggelamkan Wanita Umno?

Wan Nordin Wan Yaacob (analisa)

Mutakhir ini heboh cerita mengenai pertandingan yang bakal berlaku dalam pergerakan Puteri Umno terutamanya bagi merebut jawatan Ketua Puteri yang dikosongkan Dato' Noraini Ahmad.

Empat calon kini telah sah menawarkan diri bagi merebut jawatan tersebut iaitu, Ahli Parlimen Papar, Rosnah Abdul Rashid Shirlin; bekas Adun Paroi, Bibi Sherliza Mohd Khalid; Ketua Penerangan Puteri, Shaniza Samsudin dan Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail.

Masing-masing dikatakan mempunyai kekuatan untuk mengisi jawatan nombor satu dalam Puteri, namun paling menonjol ialah Rosnah yang juga lulusan UIAM kerana kini beliau adalah orang paling kanan kepada Ketua Puteri.

Namun, umum tidak menyangkal pengalaman pentadbiran sekretariat yang dimiliki bekas Adun Paroi, Bibi Sherliza memberi kelebihan selain sikap tegasnya dalam pergerakan.

Malangnya, tanpa disedari Bibi sebenarnya mempunyai masalah 'kurang mesra' ketika beliau menjadi Adun yang akhirnya mengakibatkan beliau tidak disenaraikan bertanding bagi Dun Paroi pada pilihan raya umum 2008.

Masalah sosial dikatakan menghantui pergerakan wanita itu apabila ada dakwaan 'skandal' dikaitkan dengan beberapa anggota pergerakan itu termasuk isu hubungan dengan suami orang.

Begitupun, keterbukaan pertandingan yang ditunjukkan Puteri seharusnya dicontohi Wanita Umno yang diselubungi misteri 'pelan peralihan kuasa' antara Ketuanya, Dato' Seri Rafidah Aziz dengan Timbalan, Dato' Seri Shahrizat Jalil.

Persoalan kini berlegar samada benar ataua tidak Rafidah akan menyerahkan jawatan nombor satu wanita kepada Shahrizat, sedangkan Rafidah mempunyai 'proksi' yang ramai dalam pergerakan itu.

Antara nama yang sering dikaitkan dengan Rafidah ialah, Halimah Sadique dan Dato' Maznah Mazlan yang kini difahamkan telah menjalankan 'jarum' supaya Wanita Bahagian tidak akan mencalonkan Ketua Wanita selain Rafidah.

Ramai sebenarnya yang mencadangkan agar Shahrizat tidak menuruti pelan peralihan kuasa kerana masanya sudah tiba untuk beliau menggunakan kekuatan yang ada bagi menentang Rafidah.

Namun, Shahrizat kelihatan seakan takut atau tidak mahu menerjah ketuanya berikutan bimbang proksi-proksi Rafidah akan mengganggu pencalonan di peringkat bahagian.

Shahrizat juga hilang kredibiliti selepas beliau tewas di Lembah Pantai dalam pilihan raya umum ke-12 dan lebih menyedihkan tidak dipilih sebagai senator untuk mengekalkan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Begitulah sindrom yang berlaku dalam pergerakan wanita Umno, persoalan siapa yang akan menggantikan rafidah masih membayangi walaupun beliau telah memegang jawatan itu 20 tahun lamanya.

Mampukan Shahrizat dengan kelemahan yang ada padanya mutakhir ini mencabar ketuanya yang dibenci tetapi cukup berpengaruh, sama-sama nantikan keputusan mesyuarat bahagian yang bermula 9 Oktober.

No comments: