Sunday, October 19, 2008

Pemilihan Umno, jual undi akan hancurkan Umno


Oleh : Dr. Mahathir Mohamad (dipetik dari laman web chedet.com, tajuk asal PEMILIHAN UMNO)

1. Seluruh Negara sedang perhatikan penamaan calon-calon jawatan Majlis Tertinggi UMNO. Keputusan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak pertahankan kerusi Presiden parti telah menyemarakkan lagi minat terhadap siapa yang akan memimpin UMNO. Ini kerana jangkaannya ialah siapa yang dipilih jadi Presiden UMNO akan turut dilantik Perdana Menteri Malaysia. Jika pengundi UMNO gagal memilih seorang pentadbir yang baik dan jujur, negara akan sekali lagi menempuh keadaan yang tidak stabil dan kejatuhan ekonomi. Tidak seorang pun rakyat Malaysia yang inginkan keadaan ini. Di dalam keadaan terdesak mereka mungkin akan pilih parti pembangkang pada pilihanraya akan datang. Dan ini tidak akan membuat keadaan menjadi lebih baik. Malahan ianya akan menjadikannya lebih buruk daripada penyandang jawatan yang tidak cekap yang ada sekarang.

2. Bagi UMNO empat tahun akan datang ini amat penting. Sesiapa juga yang menjadi Presiden parti, jika gagal memulih parti, bermakna bahawa masanya telah tamat bagi parti yang tertua di antara parti yang memperjuangkan kemerdekaan sesebuah negara. Jika ini terjadi maka kepimpinan UMNO yang akan datang ini akan termaktub dalam sejarah sebagai pengkhianat kepada parti politik yang pada satu masa dulu amat berkuasa dan terkenal.

3. UMNO telah menggunapakai sistem demokrasi untuk pastikan pengkhianat parti dapat ditolak dan digantikan dengan mereka yang lebih berupaya. Tetapi jelas demokrasi UMNO tidak selalunya berjaya. Ramai yang berjaya merebut jawatan walaupun mereka sebenarnya tidak berkebolehan dan tidak jujur. Apabila sampai ke puncak mereka gunakan jawatan dan kuasa yang ada untuk menghalang demokrasi daripada menyelamatkan parti. Dengan memberi jawatan dan wang serta pangkat, dengan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka, dengan menggunakan pelbagai bentuk ancaman, mereka ini telah berjaya menyekat apa-apa usaha untuk mengusir mereka, setidak-tidaknya untuk sekian masa.


4. Pada anggapan pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri ini, jika mereka berjaya pengaruhi ketua-ketua bahagian dan cawangan melalui rasuah dan mengancam dengan ugutan, pegangan mereka keatas parti akan kekal. Begitulah cengkaman mereka ke atas parti hinggakan parti nampak seolah-olah memberi sokongan padu kepada mereka. Mereka boleh lakukan apa sahaja dan sokongan yang tidak belah bagi terjamin.

5. Tetapi anggapan mereka salah. Ketua-ketua bahagian dan cawangan mungkn akan tunduk kepada mereka tetapi ahli parti dan penyokong yang bukan ahli parti tetap dengan pendirian mereka. Tidak berupaya untuk bersuara atau mengkritik pemimpin, mereka mengundi pembangkang.

6. Begitulah di dalam Pilihanraya Mac 2008 Parti Barisan Nasional dan UMNO mengalami kekalahan teruk. Pimpinan parti tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan ini, malahan mendakwa yang mereka menang kerana mempunyai cukup kerusi untuk membentuk Kerajaan pusat.

7. Pengundi yang jelek dengan sikap pemimpin memastikan satu lagi tamparan hebat dikenakan di dalam pilihanraya kecil yang tidak kurang penting dan UMNO dan Barisan Nasional yang begitu kuat satu masa dahulu ditundukkan, sehinggakan takut untuk mempamerkan bendera parti.

8. Akhirnya beberapa orang ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berani bangkit dan memutuskan cukuplah. Presiden mesti dipaksa meletak jawatan. Selepas melengahkan waktu seberapa lama yang boleh, Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO dan dengan itu hak tradisi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

9. Ini merupakan langkah pertama yang kritikal. Sekarang ialah masa untuk Presiden dan Perdana Menteri baru. Hanya terdapat dua calon. Tetapi hingga kini hanya Dato Seri Najib Tun Razak yang menerima pencalonan untuk jawatan tersebut. Jelaslah yang beliau merupakan calon unggul. Dan seperti yang dijangka usaha untuk memburukkan imej beliau sudahpun bermula. Bagaimana dia mengurus tohmahan ini akan memperlihatkan mutu kepimpinannya.

10. Sementara itu pencalonan untuk jawatan-jawatan lain sedang berjalan. Jika Kerajaan Najib berkehendakkan kelainan daripada Abdullah maka penyokong Abdullah tidak boleh turut serta.

11. Setakat ini masih tidak jelas sama ada bahagian-bahagian UMNO akan menyokong mereka yang membangkang Abdullah ataupun penyokongnya. Pendahuluan yang diterima Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan yang pengkritik Abdullah amat disenangi. Tan Sri Rafidah Aziz, yang dikatakan begitu kuat mengkritik Abdullah nampaknya mendapat sokongan Wanita. Ini boleh mengakhiri impian Azalina Othman, antara penyokong terkuat Abdullah dan Khairi Jamaluddin, jika Rafidah mengotakan janjinya untuk melantik Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita apabila dia (Rafidah) sendiri meletak jawatan tersebut.

12. Shafie Apdal, salah seorang yang bersuara lantang mendesak Abdullah meletak jawatan mempunyai harapan cerah memenangi pencalonan bagi jawatan Naib Presiden. Tetapi bahagian-bahagian nampak seolah-olah terlupa peranan yang dimainkan Rais Yatim, yang mana sebagai Menteri beliau tidak pernah gentar menyuarakan pendapatnya berkenaan salahlaku Abdullah.

13. Bagaimana penting sekalipun pencalonan oleh bahagian-bahagian bagi melayakkan seseorang calon bertanding untuk mendapat tempat di dalam Majlis Tertinggi UMNO; kata putus bukan di tangan mereka. Ini terletak di tangan perwakilan ke Mesyuarat Agong.

14. Pada tahun 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertanding kerusi Presiden menentang saya, saya mendapat lebih ¾ pencalonan daripada bahagian-bahagian. Tetapi saya menang dengan kelebihan hanya 43-undi daripada 2,500 perwakilan bahagian yang hadir. Jelas bahawa perwakilan ke Perhimpunan Agong tidak mengundi mengikut keputusan bahagian.

15. Ini harus mengingatkan yang bertanding jawatan supaya tidak terlalu yakin yang mereka akan menang hanya kerana mendapat jumlah pencalonan yang tertinggi dari bahagian-bahagian. Banyak perkara yang mungkin berlaku pada masa Perhimpunan Agong diadakan di Kuala Lumpur. Saya tidak terkejut jika banyak wang akan bertukar tangan, dan banyak juga keputusan yang beralih.

16. Pada pemilihan 1987, undian diberhentikan seketika pada waktu sembahyang Jumaat. Dipercayai ramai perwakilan dihampiri pada waktu rehat ini dan dipengaruhi menerusi pelbagai cara untuk ketepikan keputusan bahagian mereka dan mengundi calon lain.

17. Untuk elak kejadian ini tidak harus ada apa-apa masa rehat semasa proses mengundi. Jika boleh janganlah diadakan pada hari Jumaat. Bagaimanapun amat penting bagi pengundian di adakan pada hari pertama perhimpunan.

18. Seperti yang saya katakan, negara sedang perhatikan pemilihan UMNO dengan penuh debaran. Jika bahagian-bahagian dan perwakilan UMNO utamakan ketamakan diri mereka dalam membuat keputusan maka ini akan menjadi kali terakhir mereka menjadi "king-maker" di Malaysia.

19. Saya teringat akan ketamakan seorang Melayu kampung yang kerjanya mengutip buah keranji dari hutan untuk dijual kepada orang Thai. Kerjanya agak berat kerana pokok tinggi dan terdapat banyak semut.

20. Kerana tidak sabar dengan masalah yang dihadapi, pengutip keranji ini menebang pokok tersebut. Dan itu merupakan kali terakhir dia membuat duit dari mengutip keranji.

21. Mungkin yang belajar aliran Inggeris lebih setuju dengan cerita angsa yang menetaskan telur emas.

22. Apapun, pengajarannya tetap sama. Jual undi anda hari ini maka berakhirlah politik UMNO bagi anda.

No comments: