Wednesday, September 10, 2008

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan cabar MB bubar Dun

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR : Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohammad Omar mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan agar membubarkan Dun bagi
membolehkan pilihan raya diadakan semula.

Ia berikutan satu kenyataan Mohamad pada mulanya menyatakan tidak takut dengan '16
September' kerana pasti tidak ada wakil rakyat BN melompat parti.

"Tetapi selanjutnya Mohamad Hasan menyatakan kalau berlaku juga, kemungkinan pilihan raya akan diadakan semula dan beliau yakin BN akan perolehi kerusi yang lebih besar.

"Jika diadakan pilihan raya semula beliau (Mohamad) yakin Umno akan menawan semula Ampangan, Sikamat dan Paroi, manakala MCA dan Gerakan akan menawan semula Chuah, Nilai dan Senawang, serta MIC bagi Port Dickson," katanya.

Persoalannya ujar Zulkifly, Mohammad begitu yakin BN akan menawan semula beberapa Dun di Negeri Sembilan ini mengapa perlu menunggu tarikh 16 September 2008 atau menunggu wakil rakyat BN melompat parti.

"Beliau sepatutnya membubarkan Dun Negeri Sembilan dengan seberapa segera untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat kepada BN semakin kuat di Negeri Sembilan ini," katanya kepada Harakah 10 September lalu.

Kenyataan Mohamad menggambarkan BN di Negeri Sembilan ini begitu panik dengan
perkembangan politik yang berlaku di peringkat pusat, ujar Zulkifly.

"Malah kekecohan politik di Negeri Sembilan pula tidak menunjukkan BN khususnya Umno di negeri ini mendapat sokongan majoriti memandangkan beberapa ahli politik di Negeri Sembilan ini menghadapi pertuduhan rasuah. Ini diburukkan lagi dengan beberapa insiden kekecohan semasa mesyuarat Umno di peringkat cawangan," katanya.

Bagi pihak PAS Negeri Sembilan kita telah mengarahkan semua jentera pilihan raya di peringkat Dun dan Parlimen untuk membuat persiapan yang rapi dan lengkap untuk menghadapi pilihan raya dalam masa yang terdekat, katanya.

No comments: