Thursday, September 4, 2008

Benar kah salah seorang Naib Presiden Umno akan sertai Pakatan Rakyat?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR : Salah seorang Naib Presiden Umno didakwa akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat menjelang pembentukan kerajaan baru Malaysia 16 September ini.

Teka-teki ini timbul selepas seorang rakan politik menyatakan bahawa individu tersebut mahu menyertai Pakatan Rakyat kerana bimbang dengan pergolakan dalaman BN yang meruncing hari ini.

Sumber mendakwa, Naib Presiden Umno itu salah seorang yang dikatakan tidak sehaluan dengan kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun sumber tidak menamakan siapa Naib Presiden Umno tersebut yang mahu menyertai Pakatan Rakyat selain jawatan yang disandang dalam kerajaan BN hari ini.

Untuk makluman, Umno mempunyai tiga Naib Presiden iaitu, Tan Sri Mohammad Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka; Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Tan Sri Isa Samad, bekas ahli Parlimen Jempol dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu sumber juga menyebut, terdapat sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen BN di Negeri Sembilan yang dikatakan akan menyertai kerajaan baru pimpinan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Penyertaan ahli Parlimen tersebut dikatakan kerana kecewa dengan sikap Abdullah dan kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam barisan kabinet Abdullah.

Namun setakat ini tiada pihak yang menafi atau mengesahkan khabar tersebut termasuk individu yang dikatakan akan melompat parti.

No comments: