Friday, August 22, 2008

Kuburkan politik Anwar, kenyataan Khairy kebudak-budakan

Wan Nordin Wan Yaacob

Kenyataan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa BN bukan sahaja akan mengalahkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, tetapi akan turut 'menguburkan' karier politiknya sebenarnya tidak realistik.

Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin berpendirian, Khairy sebenarnya kini berada dalam kelemasan kerana Umno di Rembau sendiri menolak beliau.

"Khairy perlu balik ke Rembau kerana masalah rakyat di Rembau sendiri tidak pernah selesai, inikan pula bercita-cita nak kuburkan Anwar," kata Badrul Hisham yang juga calon KeADILan yang menentang Khairy dalam pilihan raya umum lalu di Parlimen Rembau.

Sementara itu Azam Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno itu disifatkan Pengarah Kempen Pilihan Raya PAS di Permatang Pauh, Dr Mujahid Yusof sebagai satu pandangan yang kebudak-budakan.

"Sudah tentu Khairy ini cakap ikut mulut sahaja dan dia tak nampak kepada perkembangan hari ini yang mana rakyat mahu kepada perubahan.

"Setakat cakap macam itu sebenarnya menunjukkan tak cerdiknya politik Khairy dan kebudak-budakan lah.Bagi saya sesuailah kita gelar dia ini sebagai pemuda yang tidak berpandangan jauh," katanya.

Sementara itu bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato' Ruhani Ahmad pula menyatakan BN dan Pakatan Rakyat tidak boleh riak dan tidak boleh takbur.

"Kedua-dua pihak wajar berkempen dengan penuh etika dan penuh hemah. Kedua-dua pihak perlu hindari apa juga kesilapan walau sekecil mana sekalipun.

"Paling penting lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seluruh jentera pengaman suasana mestilah bertindak secara bijaksana, adil dan saksama pada setiap masa," ujar beliau dalam satun ulasannya baru-baru ini.

Khairy sebelum ini ada menyatakan bahawa pilihan raya kecil Permatang Pauh akan menentukan masa depan negara.

Dalam ceramah selama 30 minit di Seberang Jaya pada 21 Ogos, Khairy berkata, cabaran sebenar bagi calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ialah untuk menamatkan karier ketua pembangkang yang 'rakus kuasa'.

Oleh itu, katanya, BN akan menguburkan karier politik Anwar supaya masa depan negara ini bebas dan selamat daripada Anwar.

No comments: