Friday, August 15, 2008

Adun Paroi bantu dua rakyat baiki rumah

SEREMBAN: Hasil sokongan orang ramai yang menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan tenaga, dua keluarga miskin di Kampung Paroi, dekat sini, kini memperoleh kediaman lebih selesa apabila projek membaiki rumah mereka yang uzur siap dilaksanakan.

Dua keluarga terbabit ialah pasangan Yahya Arshad, 34, dan isterinya, Azizah Puteh, 43, bersama tujuh anak mereka berusia antara sembilan hingga 22 tahun dan Halalijah Jamal, 48.

Azizah yang ditemui mengucapkan syukur kerana ada pihak sudi membantunya membaik pulih rumah yang uzur itu bagi membolehkan keluarganya menikmati keselesaan kerana suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori dan memperoleh pendapatan tidak tetap, tidak mampu menyediakan kediaman lebih baik.

Menurutnya, sebelum ini bahagian depan rumah pusaka itu tidak boleh diduduki kerana struktur kediaman itu reput dan ahli keluarganya hanya menggunakan bahagian dapur untuk berteduh.

“Rumah ini pusaka bapa saya dan keadaannya uzur kerana pernah beberapa dilanda banjir kilat hingga merosakkan sebahagian besar strukturnya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Azizah antara dua daripada empat keluarga miskin di Paroi yang terbabit dalam pakej bantuan kebajikan pembinaan kediaman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dengan setiap rumah membabitkan peruntukan antara RM5,000 hinggga RM8,000.

Bagi Halalijah pula, dia berterima kasih kepada Mohd Taufek yang berusaha melaksanakan kerja membaik pulih bahagian dapur rumahnya yang hampir runtuh sebelum ini.

Dia yang tidak bekerja dan menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi selain rabun warna kini menetap bersama suaminya berusia 70 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan dan dua anaknya berusia 14 dan 17 tahun.

“Saya rasa terharu kerana ada pihak yang sudi membantu membaik pulih kediaman yang saya duduki ini sejak lebih 10 tahun,” katanya.

No comments: